fbpx

Malaysia serah LOA beli tiga kapal LMS, dijangka terima hujung 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (dua kiri) bersama Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB), Prof. Dr. Haluk Görgün (kanan) menunjukkan replika LMS Batch 2 selepas majlis penyerahan LOA di Ibu Pejabat SSB, Ankara semalam. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

ANKARA, Turkiye – Malaysia telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) bagi pembelian tiga kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua dalam usaha memantapkan aspek pertahanan negara.

Penyerahan LOA itu dibuat pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Turkiye mengenai perolehan kerajaan kepada kerajaan untuk produk pertahanan di Ibu Pejabat Secretariat of Defence Industries (SSB) di sini semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyerahan LOA itu dibuat selepas perolehan itu menepati segala spesifikasi yang dikehendaki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Ketiga kapal LMS itu dijangka siap pada hujung tahun 2027 di mana pembinaannya mengambil masa sekitar tiga setengah tahun untuk disiapkan.

“Oleh kerana ia melalui SSB yang dimiliki oleh kerajaan Turkiye dan dipengerusikan oleh Presiden (Recep Tayyip Erdogan), maka ada jaminan (siap mengikut perancangan),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, kerajaan merancang memiliki sebanyak 18 armada LMS pada masa depan bagi mengukuhkan kawalan perairan negara khususnya di sempadan antarabangsa.

Katanya, ini berikutan sempadan laut negara yang luas meliputi kawasan seperti Laut China Selatan, Laut Selat Melaka, Laut Sulawesi serta Laut Sulu.

“Dengan perolehan tiga kapal LMS kumpulan kedua ini, diharap ia dapat membantu kita mencapai 18 kapal yang diperlukan TLDM.

“Jadi, pendekatan menyerahkan LOA kepada Turkiye ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk siapkan dalam masa yang ditetapkan, kalau tidak dapat disiapkan, ia pasti menjejaskan segala perancangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Turkiye juga perlu mempunyai kesedaran bagi menjaga garis masa ditetapkan bagi memastikan keyakinan Malaysia kekal dijaga.

Untuk rekod, SSB merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan negara itu selain membekalkan teknologi ketenteraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI