KUANTAN – Seramai lapan mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau masih dirawat di hospital.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, seramai lima orang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dua orang di Hospital Segamat dan seorang dirawat di sebuah hospital swasta di Melaka.
“Lima mangsa yang dirawat di HTAA berada dalam keadaan stabil yang mana satu pesakit masih tidak boleh bergerak kerana mengalami patah tulang vertebra dan satu pesakit dipasang ‘chest tube’ kerana mengalami kecederaan paru-paru.
“Dua pesakit masih perlu pemantauan kerana mengalami patah tulang vertebra dan tulang rusuk dan satu pesakit lagi masih diletakkan ‘cervical colar’ kerana mengalami kecederaan di tulang serviks,”katanya di sini hari ini.
Kelmarin Kosmo! melaporkan empat maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan treler berhampiran Simpang Tiga Bahau di Rompin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, bas berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah Melaka menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras.
Mangsa yang maut adalah Penolong Kanan SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29; pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60, serta Dahlia Ahmad, 52, guru agama sekolah berkenaan.
Menurut Rushdi setakat ini seramai 27 pesakit yang mendapat rawatan di hospital telah dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan.
Katanya, mangsa terbaharu dibenarkan pulang adalah seorang pesakit yang mengalami patah tulang selangka yang dirawat di Hospital Muadzam Shah di Rompin. – KOSMO! ONLINE