LUMUT – Seorang sub-kontraktor bersama bapa dan abangnya kini hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka di Pantai Remis, dekat sini, diserang sebanyak lapan kali termasuk lima daripadanya menggunakan 15 ‘molotov cocktail’ atau bom petrol.
Kejadian pertama selepas sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, tetapi suspek tersalah rumah apabila kediaman jirannya disimbah cat berwarna merah.
Pada 10 Mac lalu, rumah mereka di Taman Bintang 1, Pantai Remis, disimbah cat dan balingan mercun dan disusuli beberapa serangan selepas itu dengan serangan terakhir pada pukul 1.52 pagi 5 Jun lalu apabila dibaling lapan bom petrol.
Sebelum itu, pada pukul 1.42 pagi 12 Mei, sebanyak dua bom petrol dilemparkan berserta nota dalam tulisan Cina meminta mereka membayar hutang RM80,000 tetapi tidak meninggalkan sebarang maklumat untuk dihubungi.
Menurut Ng. Jia Heng, 23, dia telah membuat empat laporan polis berhubung kejadian itu iaitu pada 10 dan 24 Mac lalu serta 4 dan 5 Jun lalu serta memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di kediamannya selepas kejadian pada 17 Mac lalu.
“Saya dan ahli keluarga tidak pernah berhutang dengan sesiapa apa lagi along.
“Bagaimanapun, saya bersedia menyelesaikan apa sahaja permintaan pihak yang buat serangan itu, tetapi sehingga kini mereka tidak memberi sebarang maklumat untuk dihubungi,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar di sini hari ini.
Jia Heng baru tinggal di Pantai Remis dari Raub, Pahang, kira-kira tiga tahun lalu dan nota diterima mendakwa pinjaman itu dibuat ketika beliau berada di Raub, tetapi dia menafikannya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham, berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat memandangkan ada rakaman CCTV menunjukkan pelakunya menaiki motosikal dan melakukan perbuatan itu pada awal pagi. – KOSMO! ONLINE