PETALING JAYA – Susulan sambutan hangat, konsert Dua Lipa Radical Opitimsm Asia Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 23 November depan ditambah satu malam lagi.
Difahamkan tempat duduk bagi kapasiti gelanggang yang mampu menempatkan 10,000 penonton itu habis dijual sebaik kaunter maya dibuka pagi semalam.
Penganjur, Live Nation Malaysia menerusi laman Instagram rasmi mengumumkan penambahan satu malam lagi konsert terbabit iaitu pada 24 November 2024.
Tiket bagi menyaksikan persembahan mega penghibur berdarah British-Albania itu hanya dijual bermula pukul 11 pagi tadi.
Konsert jelajah penerima tiga anugerah Grammy itu direalisasikan bersempena pelancaran album ketiga berjudul Radical Optimism.
Selain Kuala Lumpur, Lipa, 29, melengkapkan jelajah dengan persembahan di negara Asia lain di Singapura, Jakarta, Manila, Tokyo, Taipei, Bangkok dan Seoul.
Lipa pernah menyertai Festival Good Vibes di Genting Highlands pada 2017 dan setahun kemudian mengadakan konsert solo di KL Live, Life Centre.
Pada kunjungan tersebut penyanyi lagu Houdini itu sempat melawat beberapa tempat menarik termasuk kuil Batu Caves, Jalan Alor dan melawat sebuah lukisan mural wajahnya di stesen LRT Datuk Keramat.
Lipa dilaporkan memuji keindahan Kuala Lumpur sebagai lokasi percutian paling menarik yang pernah dilawatinya dalam siri jelajah dunia. – KOSMO! ONLINE