BANGKOK – Sebuah kereta terbabas dan memasuki sebuah terusan selepas melanggar sebuah trak pikap dekat Takungan Mapprachan, wilayah Chonburi, lapor portal berita The Pattaya News.
Kejadian itu pada Sabtu lalu itu menyaksikan anggota-anggota penyelamat daripada Yayasan Sawang Boriboon, Pattaya bergegas ke tempat kejadian.
Kereta sedan putih itu sebahagiannya terendam di dalam terusan tersebut dengan hanya bahagian atas kenderaan itu masih kelihatan.
Pemandu pikap yang dikenali sebagai Somchai berkata, dia memandu seperti biasa sebelum kereta tersebut merempuh pikapnya dan terbabas ke dalam terusan. Somchai tidak cedera dalam kemalangan itu.
Penduduk tempatan sempat menyelamatkan pemandu kereta yang dikenali sebaga Kritsanarak.
Mereka berkata, dia mabuk dan suaranya tidak jelas.
Mereka kemudian melaporkan kemalangan itu kepada pasukan penyelamat.
Anggota-anggota dari balai polis Nong Prue masih menyiasat kejadian itu. – AGENSI