fbpx

Keracunan makanan: Saya tak nak salahkan mana-mana pihak – Bapa mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamal ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Selayang, hari ini.

GOMBAK – Bapa kepada remaja berusia 17 tahun yang maut selepas mengalami cirit-birit dipercayai akibat makan makanan dibawa pulang daripada sebuah program sekolah agama enggan menyalahkan mana-mana pihak.

Kamal Baihan, 53, berkata, dia akan menunggu keputusan daripada hospital bagi mengesahkan sama ada kematian anak bongsunya, Luth Izhar berpunca daripada keracunan makanan ataupun tidak.

“(Pada 8 Jun lalu), ibu dia bawa balik makanan itu. Biasanya lebihan (makanan) itu mereka kumpul dan bawa balik. Tetapi saya tak nak lah (tuduh) sebab selama ini tiada apa masalah pun.

“Kalau kita nak mengaitkan lepas itu kita (perbesarkan) sekolah agama macam tak best (seronok) kan sebab semua ini kebetulan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Selayang, di sini hari ini.

Menceritakan semula detik malang itu, Kamal berkata, dia dan anaknya termasuk isteri makan bihun dan telur, manakala dua lagi anaknya hanya menjamah bihun sahaja.

“Jadi, mungkinlah sebab telur sebab malam itu juga dia (Luth) tak sihat dan cirit-birit.

“Saya tak sempat nak bawa dia klinik sebab dia tak boleh bergerak. Dia dah tak boleh jalan masa itu. Saya pun sampai hari ini masih sakit perut lagi,” ujarnya.

Kata Kamal, jenazah anaknya akan dibawa ke Surau Al Mukmin di Mutiara Gombak untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sg. Pusu, di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja berusia 17 tahun termasuk kanak-kanak berusia setahun tujuh bulan dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima dua laporan kematian berhubung kejadian tersebut semalam.

Noor Ariffin berkata, mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, menurut sumber, hasil siasatan mendapati terdapat 82 mangsa termasuk 48 perempuan melibatkan sebuah program di Sekolah Agama Integrasi Sungai Chinchin, Gombak yang mengalami gejala cirit-birit dan atau muntah.

Dalam pada itu, menurut pegawai perubatan, jenazah kanak-kanak telah selesai dibedah siasat dan dituntut oleh keluarga pada pukul 6 petang, semalam.

Bapanya, Nazrol Shah Hafiz ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan urusan pengebumian anaknya, Nur Delisha Madihah selesai dilaksanakan awal malam semalam.

Program tersebut melibatkan jumlah keseluruhan 240 peserta dari 30 buah sekolah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dalam daerah gombak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI