fbpx

‘Dah cium bihun tapi tidak berbau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Luth Izhar (dua kiri) bersama keluarga. FACEBOOK

GOMBAK – Bapa Allahyarham Luth Izhar Kamal yang maut akibat keracunan makanan sempat memeriksa bihun goreng dan telur yang dibawa pulang isterinya daripada sebuah program sekolah agama di daerah ini.

Kamal Baihan, 53, berkata, anak bongsunya itu sendiri memintanya untuk memeriksa keadaan makanan tersebut pada hari kejadian.

“Saya mencium bihun tersebut, namun tiada bau tidak elok pada makanan itu.

“Semasa makan, Luth ada minta tambah telur kerana kakaknya tidak makan telur,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Luth Izhar, 17, dan seorang kanak-kanak berusia satu tahun tujuh bulan dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, dia sempat bergurau dengan arwah anaknya namun tidak menyangka ia merupakan kenangan terakhir bersama Luth Izhar.

Jelasnya, dia sekeluarga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung kejadian yang menimpa arwah Luth Izhar.

“Jika ada pihak yang mahu menjalankan siasatan, terpulang kepada pihak terbabit.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah Luth Izhar kerana kematian tidak akan terlewat atau awal dari apa yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa,” ujarnya sebak.

Sementara itu, sepupu mangsa, Iskhandar Zazumi, 30, berkata, arwah Luth Izhar merupakan remaja yang berbudi pekerti meskipun disifatkan sebagai seorang yang pendiam.

“Kali terakhir saya bertemu arwah Luth pada malam majlis tahlil nenek kami di Bukit Beruntung, Selangor pada bulan lepas. Tiada sikap ganjil yang ditunjukkan oleh arwah,” katanya.

Jenazah Luth Izhar disolatkan di Surau Al Mukmin, Mutiara Gombak sebelum dikebumikan sekitar pukul 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, di sini tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI