SHAH ALAM – Polis akan memanggil pengusaha katering dan penganjur program di Sekolah Agama Integrasi Sungai Chinchin, Gombak berhubung kes kematian akibat keracunan makanan, dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut akan dipanggil adalah guru di sekolah tersebut bagi membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, pihaknya masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan tersebut dengan kes ketika ini disiasat mati mengejut.
“Kita akan panggil katerer, penganjur dan guru sekolah tersebut bagi direkodkan keterangan.
“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menutup kantin yang berkaitan kes tersebut di sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau menambah, setakat ini sebanyak dua laporan telah diterima dengan ibu bapa serta mangsa yang telah maut makan makanan yang sama dari tempat majlis tersebut.
Tegas Hussein, semakan di hospital mendapati tiada mangsa lain yang pergi menerima rawatan susulan keracunan makanan tersebut meskipun mengadu mengalami sakit namun tidak serius.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak, Sabtu lalu.
Mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad tidak menolak kemungkinan keracunan makanan yang menyebabkan dua individu maut tersebut disebabkan telur mata.
Malah sumber turut memaklumkan, dua mangsa yang maut itu dikatakan termakan bihun goreng yang sudah melekit selain kuning telur mata yang kehitaman. -KOSMO!ONLINE