fbpx

[VIDEO] ‘Kami rugi, 6 tan kupang terpaksa dibiar mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENTERNAK kerugian ratusan ribu ringgit selepas ternakan kupang mereka dilarang dijual kepada orang ramai akibat tercemar di Jasin.

JASIN – Penternak kupang di Kuala Sebatu dekat sini merayu agar Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyalurkan sedikit bantuan atas kerugian mencecah ratusan ribu ringgit yang terpaksa ditanggung mereka susulan larangan menjual hasil laut itu sejak April lalu.

Menurut salah seorang penternak, Hamzah Abu Bakar, 42, dia menanggung kerugian lebih RM60,000 apabila tidak dapat menjual hasil kupang yang kebiasaannya boleh mencecah 6,300 kilogram (kg) dalam tempoh berkenaan.

“Masuk bulan ni nak dekat tiga bulan kita tidak dapat kutip hasil dan kerugian sudah cecah hampir RM60,000. Sudahlah kita hilang pendapatan, kecurian kupang pula berlaku yang kita syak hasil itu dijual di negeri jiran.

“Biasa musim perayaan kita tuai banyak hasil tetapi sejak larangan kita tak boleh buat apa-apa, sekarang ini saya buat kerja-kerja sampingan nelayan dan hanya peroleh pendapatan sekitar RM800 sahaja,” luahnya.

KUPANG yang telah mati selepas pihak berkuasa melarang untuk dijual kepada orang ramai sejak April lalu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Mohd. Sah Hashim berkata, sebelum ini sekurang-kurangnya 1,200 kilogram (kg) kupang bernilai sekitar RM9,600 akan dipasarkan di pasar tani dan Pantai Siring pada setiap bulan.

Ujarnya, bagaimanapun sejak April lalu lebih 6,000kg kupang terpaksa dibiarkan mati secara semula jadi selepas DOF mengeluarkan larangan menjual kerang-kerangan itu ekoran mengesan kehadiran alga berbahaya di perairan berkenaan.

“Sejak April lalu kami telah dilarang untuk menjual kupang kepada orang ramai dan lebih 6,000 kg kupang bernilai kira-kira RM48,000 telah musnah kerana tua.

“Sehingga kini 33 panggar kupang masih beroperasi dan biasanya kita jual sekurang-kurangnya 300kg seminggu pada harga RM7 sehingga 8kg sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Kuala Sebatu di sini, hari ini.

Tambahnya, selain kupang, penternak juga tidak dapat mengeluarkan benih yang sepatutnya dieksport ke negeri lain dengan nilai jualan sekitar RM60,000 sebulan.

“Biasa satu tali kita jual RM30, sekali jual kita jual 500 tali sekurang-kurangnya bernilai RM15,000 dan sebulan ada lah empat kali kita eksport ke utara termasuk di Manjung, Perak dan Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Saufi Affandi Talib ketika dihubungi berkata, pihaknya masih memantau dan menjalankan pensampelan secara mingguan.

“Ini kerana paras plankton berbahaya spesies prorocentrum alexandrium di perairan masih tinggi dan semua dwikerang seperti kupang, kerang dan lokan tidak selamat untuk dimakan.

“Oleh itu larangan bagi pengutipan hasil, pengedaran, penjualan termasuk memakannya bagi spesies tersebut masih berkuatkuasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI