GEORGE TOWN – Pengusaha bas ekspres, sekolah atau persiaran tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana subsidi diesel itu terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan sekolah jadi mereka tidak terkesan dengan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan kerajaan.
“Ini tak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.
“Mereka tidak ada kesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM) di sini, hari ini.
Anthony mengulas khabar angin mengenai kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin. – KOSMO! ONLINE