MEKAH – Jemaah haji Malaysia diingatkan agar tidak menggunakan helah berpakaian ihram semata-mata untuk berada di kawasan atau dataran sekitar Kaabah (mataf).
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) Ustaz Suhaimi Samad berkata, tindakan itu sama sekali tidak dibenarkan kerana pemakaian ihram hanya untuk mereka yang berniat umrah.
Malah katanya, ia perbuatan yang tiada beradab kerana mengambil hak orang lain dan menipu semata-mata untuk melakukan tawaf di kawasan Mataf.
“Saya terima banyak persoalan apakah hukum tidak buat umrah tetapi memakai ihram untuk melakukan ibadat tawaf di Mataf. Daripada segi hukum memang sah tawaf berkenaan, tetapi daripada segi adab, individu terbabit buat ibadat tapi dalam masa sama menipu dengan cara berpakaian ihram untuk membolehkan tawaf di Mataf.
“Justeru ia memang sesuatu yang tidak boleh sebab pihak berkuasa telah menetapkan arahan itu hanya untuk mereka yang berniat umrah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tawaf adalah rukun umrah kedua yang bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali.
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi semasa tawaf iailah suci daripada hadas dan najis, menutup aurat, niat tawaf, bermula dari sudut Hajarul Aswad, menjadikan Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan, cukup tujuh kali pusingan serta dilakukan dalam kawasan Masjidil Haram.
Bagaimanapun, katanya, kelonggaran diberikan dalam beberapa situasi misalnya jika suami mahu menemani isterinya menyempurnakan tawaf.
“Namun kita boleh lihat sudut lain seperti pasangan suami yang mahu menemani isteri yang masih belum sempurna ihramnya.
“Suami sudah selesai (umrah) tapi isteri belum. Jadi nak teman isteri untuk ibadat tawaf, maka dia terpaksa demi membolehkan dia teman isteri lakukan ibdat tawaf. Maka kalau dalam hal ini ia dibenarkan,” jelasnya.
Suhaimi dalam masa yang sama turut menasihati jemaah haji agar mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE