BUMI Jerman sekali lagi diharap mampu memberikan tuah kepada Belanda untuk memburu kejuaraan sulung dalam tempoh 36 tahun sejak kali terakhir menakluki kejohanan Eropah pada edisi 1988.
Ketika The Oranje dibarisi pemain-pemain ternama dunia seperti Ruud Gullit, Marco van Basten, Frank Rijkaard dan pengendali pasukan ketika ini, Ronald Koeman yang turut mahu melengkapkan resumenya dengan menjulang trofi kejuaraan buat kali kedua selaku pengurus.
Daripada senarai pemain yang dimiliki sekarang menyaksikan Belanda tidak boleh dipandang enteng kerana dibarisi ramai bintang ternama dunia seperti Virgil van Dijk, Jeremie Frimpong, Matthijs de Ligt, Ryan Gravenberch, Memphis Depay, Cody Gakpo, Frenkie de Jong, Xavi Simons dan Georginio Wijnaldum.
Pada edisi kali ini, Koeman dan pengendali Perancis, Didier Deschamps muncul dua pengurus tunggal yang pernah memenangi kejohanan sebagai pemain yang pastinya bakal menjadi daya tarikan untuk penyertaan kali ini.
Belanda mungkin tidak akan dilabel sebagai pencabar kejuaraan kali ini tetapi berhak untuk dikelaskan sebagai pasukan yang mampu menggugat kuasa besar kerana sudah membuktikan kualitinya semasa pusingan kelayakan.
Ketika ini, fokus utama Koeman pastinya untuk ‘membuang’ memori pahit kegagalan layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.
Bagaimanapun, Koeman dilihat sedikit bertuah kerana mewarisi pemain berbakat ketika pasukan di bawah kendalian Louis van Gaal yang menyaksikan ketika itu The Oranje mara sehingga suku akhir Piala Dunia 2022.
“Orang di Belanda kadang-kadang gemar bercakap tentang sistem formasi. Perkara yang paling menyukarkan adalah untuk menghadirkan permainan yang bagus, menarik dan sentiasa melakukan serangan.
“Kami mahu jadi pasukan yang kreatif. Kami tidak mahu menyajikan permainan bola sepak yang membosankan dan kami pasti tidak akan melakukannya,” kata Koeman.
Aspek bertahan dilihat menjadi elemen terkuat yang dimiliki oleh Belanda kerana mempunyai deretan bintang berkualiti seperti Van Dijk, Nathan Ake, Micky van de Ven, Stefan de Vrij dan Matthijs de Ligt.
Di barisan depan, persembahan terkini Depay pastinya menghadirkan kelegaan buat penyokong Belanda memandangkan penyerang Atletico Madrid itu sedang berada pada momentum terbaik.
Depay yang kini meledak 45 gol berada di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda, hanya kurang lima gol berbanding Robin van Persie.
Faktor itu juga dijangka akan jadi tonik buat Depay untuk menghadirkan persembahan terbaik sekaligus mampu meletakkan namanya dalam buku sejarah pasukan.
INFO
JURULATIH: Ronald Koeman
GELARAN: The Oranje
PENCAPAIAN: Juara (1988)
RANKING: No. 7 dunia
KUMPULAN: D (Poland, Austria, Perancis)
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Justin Bijlow (Feyenoord)
Mark Flekken (Brentford)
Bart Verbruggen (Brighton & Hove Albion)
PERTAHANAN
Nathan Ake (Manchester City)
Daley Blind (Girona)
Virgil van Dijk (Liverpool)
Denzel Dumfries (Inter Milan)
Jeremie Frimpong (Bayer Leverkusen
Lutsharel Geertruida (Feyenoord)
Matthijs de Ligt (Bayern Munich)
Micky van de Ven (Tottenham Hotspur)
Stefan de Vrij (Inter Milan)
TENGAH
Ryan Gravenberch (Liverpool)
Frenkie de Jong (Barcelona)
Teun Koopmeiners (Atalanta)
Tijjani Reijnders (AC Milan)
Jerdy Schouten (PSV Eindhoven)
Xavi Simons (RB Leipzig)
Joey Veerman (PSV Eindhoven)
Georginio Wijnaldum (Al-Ettifaq)
PENYERANG
Steven Bergwijn (Ajax)
Brian Brobbey (Ajax)
Memphis Depay (Atletico Madrid)
Cody Gakpo (Liverpool)
Donyell Malen (Borussia Dortmund)
Wout Weghorst (Hoffenheim)