KUALA SELANGOR – Peguam seorang wanita yang dituduh membekalkan senjata api kepada warga Israel memohon Mahkamah Sesyen di sini, mengeluarkan perintah supaya warden Penjara Wanita Kajang tidak memberi maklumat tidak sahih kepada anak guamnya berkaitan kes itu.
Selain itu, pihak pembelaan memohon supaya tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dibenarkan menjalani pemeriksaan imbasan sinar-X kerana jatuh pengsan di penjara akibat murung dan keresahan melampau (anxiety).
Peguam Mohamad Isa Mohamad Basir berkata, dua permohonan itu melibatkan kebenaran mendapatkan pemeriksaan kesihatan di luar penjara dan warden tidak memberi informasi tidak benar kepada tertuduh.
“Dua minggu lalu, anak guam saya jatuh pengsan dan saya difahamkan dia hanya menerima rawatan biasa. Dia mengadu sakit di kepala dan mohon untuk mendapatkan pemeriksaan x-ray.
“Selain itu, difahamkan warden penjara memberi pelbagai informasi tidak benar dan telah memberi tekanan kepadanya. Dia sebelum ini pernah mengalami depresi dan anxiety,” katanya.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kemudian menasihatkan supaya kedua-dua perkara itu diselesaikan secara pentadbiran oleh pihak penjara dan pendakwaan.
“Pegawai perubatan di penjara telah memberikan rawatan sewajarnya dan jika tidak menerimanya, boleh maklum kepada pegawai itu. Mahkamah menasihatkan pihak warden tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berkaitan kes ini,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik yang mengendalikan kes memohon tarikh sebutan bagi penyediaan dokumen.
Prosiding sebutan kes itu turut dihadiri peguam Ethan Tan mewakili seorang lagi tertuduh, Abdul Azim Mohd. Yasin, 43, yang juga suami kepada Sharifah Faraha. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai depan. – KOSMO! ONLINE