SEOUL – Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran selepas askar-askar Korea Utara menceroboh sempadan negara berkenaan untuk seketika, kata Seoul hari ini.
“Sebilangan askar Korea Utara yang berada di Zon Bebas Tentera (DMZ) bertindak melintasi garisan sempadan untuk seketika.
“Selepas tentera kami mengeluarkan amaran dan melepaskan tembakan amaran, mereka berundur ke arah utara.
“Kejadian ini berlaku Ahad lalu,” kata Ketua-Ketua Staf Bersama Seoul(JCS) dalam satu kenyataan, merujuk kepada kawasan sempadan yang memisahkan kedua-dua negara.
Menurut mereka, pihak tentera sedang memantau rapi keadaan di DMZ.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Korea Selatan dan Utara berada pada tahap paling buruk dalam tempoh beberapa tahun.
Sejak beberapa minggu lalu, Korea Utara menghantar beratus-ratus biji belon berisi puntung rokok dan tisu tandas terpakai ke arah Selatan sebagai membalas penghantaran belon membawa propaganda anti-Pyongyang yang diterbangkan oleh aktivis-aktivis.
Pada minggu ini, kerajaan Korea Selatan memansuhkan perjanjian meredakan ketegangan tentera antara Seoul dan Pyongyang yang dimeterai pada 2018 serta memulakan semula siaran propaganda di kawasan sempadan sebagai tindak balas terhadap belon sampah Pyongyang.
Tentera Korea Selatan pula menyatakan semalam bahawa pihaknya mengesan tanda-tanda bahawa Korea Utara memasang sistem pembesar suara dan akan menyiarkan propaganda mereka sendiri. – AFP