PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menunggu laporan lengkap berkaitan nahas membabitkan bas persiaran dan treler di Rompin pada 9 Jun lalu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
APAD dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap.
Ujarnya, tindakan awal juga dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.
“Ditegaskan bahawa, sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 45 atau seksyen 62 Akta Pengangkutan
Awam Darat 2010 [Akta 715] yang mana berkaitan.
“APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.
“APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut berkata, semakan mendapati bahawa bas persiaran tersebut dilesenkan di bawah syarikat Zuzin Holiday Sdn. Bhd. manakala treler dilesenkan di bawah syarikat LSM Metal Ace Sdn. Bhd.
Ahad lalu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam, bas persiaran membawa 39 penumpang dan dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas ekspres berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras.
Setakat semalam, insiden itu meragut empat nyawa, manakala 12 mangsa masih menerima rawatan di hospital di Rompin. – KOSMO! ONLINE