PETALING JAYA – Hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mendapati, seramai 82 orang atau 33 peratus telah mengalami gejala dengan dua kematian daripada 247 orang yang terdedah selepas makan bihun telur mata sarapan pagi yang didapati sudah berubah rupa dan rasa.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, pihaknya telah menerima satu laporan kejadian wabak keracunan makanan yang berlaku susulan Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 buah sekolah rendah yang diadakan pada 8 Jun 2024.
Jelasnya, kes mengalami gejala selepas memakan sarapan pagi yang dibekalkan kepada guru-guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar.
“Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa, kes berlaku melibatkan urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berumur di antara setahun tujuh bulan hingga 58 tahun.
“Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya. Seramai 28 kes telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan
tiada kes yang dimasukkan ke wad.
“Sebanyak dua kes dilaporkan telah meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan. Kes pertama adalah seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan kes kedua adalah kanak-kanak perempuan berumur setahun tahun tujuh bulan.
“Kedua-duanya telah memakan makanan disyaki yang dibawa pulang oleh ahli keluarga,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Tambah Dr. Ummi Kalthom, pihak JKNS masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan ini telah dijalankan.
Jelasnya, holding sample makanan yang diambil pada hari kejadian telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut.
“Jabatan ini meminta agar individu terlibat yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.
“Penganjur program dan orang awam perlu berhati-hati memilih premis dan pembekal makanan yang bersih. Orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan atau minum bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.