JAKARTA – Perbuatan seorang warga emas yang sanggup menjual rumahnya di Bondowoso, wilayah Jawa Timur untuk membina sebuah masjid mengundang perhatian orang ramai, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Perkongsian mengenainya dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yesdenylanasakti dan menjadi tular baru-baru ini.
Wanita dikenali Mbah Markus itu tinggal berseorangan selepas suami dan anaknya meninggal dunia.
Lebih mengejutkan apabila kediaman yang dia duduki sekarang hanyalah sebuah rumah kayu beralaskan tanah.
Bagaimanapun, Mbah Markus menjual sebuah lagi rumah miliknya yang jauh lebih selesa. Dia menyumbangkan wang hasil jualan untuk tujuan membina masjid.
“Saya ada dua buah rumah, satu dijual dan tanah itu disedekahkan untuk membina masjid,” kata Mbah Markus.
Tindakan wanita itu meninggalkan kesan mendalam kepada ramai netizen.
“Saya terharu mendengar kata-katanya. Sesungguhnya dia manusia yang kaya di dunia dan akhirat,” kata seorang netizen.
“Rumah Mbah Markus nanti di syurga mesti jauh lebih indah dan megah kerana menjual rumahnya, manakala wang hasil jualan disedekahkah bagi membina masjid,” kata netizen lain. – AGENSI