PETALING JAYA – Pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau mesra disapa Ustaz Don, selesai berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dalam pertemuan singkat hari ini.
Menerusi perkongsian di media sosial Instagram @agamigroup, yang mewakili Ustaz Don, pertemuan itu berlangsung pada awal pagi tadi, turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.
Ujarnya, dalam pertemuan singkat berkenaan, mereka saling berkongsi pandangan dan pendapat dengan terbuka dalam suasana yang harmoni.
“Alhamdulillah, pertemuan pagi tadi berjalan dengan lancar. Terima kasih kerana menjemput dan menerima kehadiran kami. Semoga pertemuan tadi memberi manfaat yang lebih besar buat semua,” tulis kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ustaz Don dilapor direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian orang ramai membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti sebuah stesen radio sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.
Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber. – KOSMO! ONLINE