MELAKA – Tiga guru dan seorang pembantu wanita tadika Bonda Preschool didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan dua kanak-kanak yang juga adik-beradik di pusat didikan itu, sejak Mac lalu.
Tertuduh, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24; Hafsah Abd. Razak, 33; Nur Diyana Zainudin, 24 dan pembantu tadika, Jamia Abd. Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Pertuduhan itu telah dibacakan secara berasingan masing-masing dua di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru dan seorang pembantu tadika telah mengabaikan atau mendedahkan dua kanak-kanak berusia empat dan enam tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pertengahan Mac sehingga awal Mei di Bonda Preschool di Jalan Cheng Indah 8, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Difahamkan kedua-dua beradik itu telah dipukul termasuk apabila menumpahkan makanan sehingga meninggalkan kesan trauma dan menghidapi gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
Pusat didikan itu mempunyai 20 cawangan termasuk di Selangor dan Kuantan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin dan Nur Syazwanie Marizan masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan RM15,000.
Peguam Mohd. Fadil Mohd. Yusof yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga guru itu menanggung keluarga dengan pendapatan sekitar RM1,500, manakala Jamia pula adalah ibu tunggal dan tidak terlibat dalam penjagaan kanak-kanak di tadika itu.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian bersetuju membenarkan tertuduh Hafsah dan Diyana diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh sebutan semula pada tarikh 24 Julai depan.
Nur Hanis dan Jamia pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dan sebutan ditetapkan pada tarikh 30 Julai.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh tidak menganggu dan mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Turut hadir ialah peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Mohamed Ashmeer Mohamad Ashrof. -KOSMO! ONLINE.