KUALA LUMPUR – Pengusaha bas dan lori yang tidak mempunyai Fleet Card boleh mendapatkan rebat tunai atau pemulangan subsidi diesel.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan permohonan segelintir pengusaha bas dan lori mendapatkan Fleet Card tidak diluluskan sekali gus membebankan mereka adalah tidak benar.
“Kalau dia berada dalam kategori yang telah diluluskan, dia ada hak dan kelayakan untuk dapat Fleet Card.
“Kebanyakannya ialah mungkin dari segi permohonan yang dibuat agak lambat, jadi dia tak dapat Fleet Card sebelum pengumuman (dibuat),” katanya pada sidang akhbar di Hotel Intercontinental, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Gabungan Persatuan Lori dan Bas mendakwa hanya permohonan syarikat besar diluluskan manakala ahli syarikat kecil masih belum menerima sebarang maklum balas.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pihak berkenaan hanya perlu menyimpan resit sebagai bukti untuk mendapatkan pemulangan subsidi.
“Jadi, akan ada mekanisme untuk kita refund (pemulangan) subsidi kepada pengusaha-pengusaha tersebut. Mekanisme itu akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
“Mereka mesti simpan resit untuk buktikan berapa banyak diesel yang digunakan untuk mendapatkan pemulangan,” jelasnya.
Menurut Anthony Loke, ketiadaan notis panjang berhubung pelaksanaan pengapungan harga diesel adalah bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan bahan bakar tersebut.
“Kita dah cakap perkara ini berbulan-bulan mengenai rasionalisasi subsidi ini. Memang semalam umum pengapungan harga, tetapi kita dah bagi ‘hint’ (petunjuk).
“Kalau kita bagi notis panjang. Semua orang akan pergi pam diesel dan stesen minyak akan kekurangan stok dan menjejaskan bekalan. Semua masalah ini kita sudah bincangkan sebelum membuat keputusan,” ujarnya.
Tambahnya, adalah penting untuk semua pihak memahami mengapa kerajaan perlu melaksanakan dasar ini.
Tegasnya, ia merupakan satu signal bahawa Kerajaan Perpaduan mempunyai keinginan politik untuk mengubah struktur ekonomi negara dan menyelamatkan berbilion ringgit yang hanya menguntungkan penyeludup. – KOSMO! ONLINE