PETALING JAYA – Membesarkan dua anak lelaki bukan satu tugas mudah buat pelakon Rita Rudaini apabila dia sendiri mengakui terpaksa menyembunyikan kesedihan mendepani segala dugaan mendatang seorang diri.
Kata Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, situasi berjaya melepaskan lelah itu dilakukan dengan mengimbau kembali kesukaran yang dilalui sebelum ini dan menangis sepuas hati.
“Orang nampak saya kuat tetapi saya hanya manusia biasa. Ada masa saya lemah.
“Bila saya penat bekerja, saya akan mengimbau kembali kesusahan saya dan ketika itulah saya terlalu letih sehingga menangis tetapi senyap-senyap.
“Orang tidak tahu bila saya akan menangis termasuk anak-anak,” katanya dalam sebuah temu bual bersama media.
Dalam masa sama, pelakon filem Mami Jarum itu memaklumkan, walaupun dirinya sukar untuk menangis tetapi terpaksa dilakukan untuk melepaskan segala emosi yang terbuku dalam hati.
“Kadang-kadang, saya pun kena menangis juga. Itu cara saya lepaskan (perasaan).
“Saya ini jenis susah menangis tetapi perlu untuk saya lepaskan. Kalau tak saya suka simpan.
“Kadang-kadang sampai satu masa benda-benda kecil pun boleh buat saya marah sebab saya simpan,” ujarnya lagi.
Menjengah dalam ruangan komen, ramai yang memberi kata-kata semangat kepada bekas peserta Dewi Remaja 98/99 itu selain kagum dengan semangatnya.
“Keletihan Rita kini terbalas dengan kecemerlangan anak-anaknya dalam akademik. Dia idola saya, seorang wanita kuat dan tabah,” kata peminat.
“Ibu yang hebat membesarkan dua orang anak. Semoga Rita dimurahkan rezeki dan dilindungi Allah sentiasa,” ujar pengikut.
“Rita Rudaini tidak sedar dia seorang yang kuat. Kalau tidak dia tak dapat lalui dugaan dengan tabah dan membesarkan anak-anak seorang diri,” tutur peminat lain.
Rita berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun berpisah pada September 2013.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. – KOSMO! ONLINE