PUTRAJAYA – Seorang penjawat awam langsung tidak menyangka Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih melindungi aspek kebajikan dia dan anak-anak walaupun arwah suaminya bukan lagi pencarum aktif agensi itu.
Azlimi Ayub@Abdullah, 43, yang juga seorang jururawat adalah balu kepada bekas jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Ahmad Irham Mohd Noor, 43, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman Rabu lalu.
Azlimi berkata, dia akui terkejut apabila dimaklumkan layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dan pencen penakat di bawah Skim Keilatan Perkeso berjumlah RM2,429.33 setiap bulan.
“Arwah suami sebelum ini berkhidmat sebagai jurugambar di NSTP selama 20 tahun sebelum meninggalkan kerjaya pada 2020 akibat pengecilan operasi syarikat.
“Saya ucap terima kasih kepada Perkeso atas sumbangan diberikan ini. Hari ini, baru saya tahu Perkeso tetap memberi kemudahan dan faedah kepada waris biarpun suami tidak lagi aktif mencarum.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saya sekeluarga termasuk dua anak masing-masing berusia 14 dan 18 tahun yang masih bersekolah,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan FPM dan pencen penakat kepada ahli keluarga arwah disempurnakan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subhan Kamal di kediaman arwah, di Presint 17, hari ini.
Subhan berkata, ahli keluarga arwah layak menerima kemudahan itu memandangkan arwah adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) selama 20 tahun sejak tahun 2000. – KOSMO! ONLINE.