KUALA NERUS – Kerajaan berhasrat mengetatkan aspek perundangan di peringkat Persekutuan bagi memperkasakan lagi Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna sebagai inisiatif mengurangkan pencemaran mikroplastik di perairan negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengurangan penggunaan produk plastik dalam kalangan masyarakat dirasakan pendekatan terbaik bagi mengatasi isu pencemaran lautan yang semakin meruncing kini.
“Sebanyak mana kita pasang perangkap untuk mengutip sampah (daripada memasuki laut), ia tetap mempunyai had.
“Paling terbaik pengurangan (penggunaan) sisa plastik itu sendiri. Kita sedang kaji perundangan peringkat nasional untuk mengurangkan sisa plastik termasuk botol mineral,” katanya pada program Jelajah Kelestarian Alam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, pemerkasaan Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna yang diperkenalkan pada tahun 2018 perlu dilakukan ekoran momentumnya dilihat sedikit terganggu berikutan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Jelas beliau, penggunaan produk plastik sekali guna seperti botol air mineral meningkat mendadak sewaktu tempoh pandemik terbabit.
Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berkata, kerajaan memandang serius pencemaran mikroplastik di lautan kerana perairan dunia diramal akan mempunyai lebih banyak unsur itu berbanding ikan menjelang tahun 2050 sekiranya tiada langkah proaktif diambil.
Kosmo! hari ini melaporkan laporan Jurnal Environmental Science and Technology mendedahkan rakyat Malaysia termakan mikroplastik hampir 15 gram setiap bulan sekaligus berisiko menghadapi kanser, kemandulan, serangan jantung dan strok. – KOSMO! ONLINE.