PETALING JAYA – Seorang pembantu rumah warga Indonesia berdepan detik hitam selepas tidak dibayar gaji dan dikurung di balkoni setiap kali selesai tugasan sejak seminggu lalu.
Rentetan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah unit kondominium di Mutiara Damansara, di sini, kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 21 tahun itu dipercayai baru bekerja dengan majikannya sejak seminggu lalu.
“Mangsa bertugas mencuci tandas sahaja dan selesai melakukan tugasan, mangsa akan dikurung semula di balkoni rumah.
“Selain itu, mangsa turut mendakwa tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah berkenaan,” katanya hari ini.
Katanya, mangsa turut tidak menerima gaji dan tidak tahu berapa bayaran untuk pekerjaannya itu.
“Mangsa tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu, dan tidak tahu berapa nilai gajinya. Selain itu, mangsa mendakwa diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu,” katanya.
Menurutnya, serbuan dijalankan turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 69 tahun dipercayai merupakan majikan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE