PETALING JAYA – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengharapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik menjelang aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan, malam esok.
Kata Pan-gon, misi anak-anak buahnya pada perlawanan getir itu adalah untuk memburu kemenangan besar dan harap keadaan rumput di SNBJ ‘tidak banyak karenah’ sekali gus memudahkan taktikal pasukan.
“Hari ini, kita memilih untuk tidak menjalani latihan di SNBJ. Situasi ini kerana kita sudah biasa bermain di sana.
“Mengenai padang saya tak boleh cakap banyak. Saya fikir keadaannya sama buat pihak lawan, sama macam kita. Jadi, harapnya, padang cukup bagus untuk kita bermain (esok),” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Sebagai rekod, keadaan padang SNBJ yang tidak sempurna telah dikritik hebat pada dalam tiga saingan berbeza pada Pestabola Merdeka dan final Piala Malaysia tahun lalu.
Terbaharu, padang SNBJ juga tidak berada pada tahap optimum ketika menentang pasukan Oman, Mac lepas susulan penganjuran konsert Ed Sheeran yang berlangsung pada Februari. – KOSMO! ONLINE