KUALA LUMPUR – Penyanyi Aepul Roza mengaku menjadikan persembahan Naim Daniel pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) sebagai inspirasi ketika menyampaikan lagu Surat Cinta Untuk Starla pada minggu kelima konsert The Hardest Singing Show (THSS) semalam.
Kata Aepul atau nama lengkapnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 36, dia berterima kasih dengan Naim kerana terlebih dahulu mempamerkan idea persembahan sebegitu.
“Ya persembahan ini inspirasi daripada Naim Daniel. Terima kasih banyak dan maaf Naim pinjam idea.
“Memandangkan minggu ini tema persembahan ialah ilusi LED, jadi grafik perlu dibuat secara 2D (dimensi).
“Perkara sebegitu lebih mudah berbanding kita ingin membuat persembahan secara 3D yang memerlukan membuat penggambaran dan edit. Perkara itu akan memakan masa dan menelan belanja,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras usai konsert THSS.
Tambah Aepul, dia mengetahui konsep persembahan animasi itu telah dipamerkan sebelum ini. Namun, disebabkan kekangan masa, dia memilih untuk menggunakan kaedah sama.
“Seperti yang saya katakan, kekangan masa yang terhad menyebabkan saya dan pasukan pilih untuk menggunakan cara ini.
“Saya tahu bahawa satu Malaysia ingat Naim Daniel pernah membawakan persembahan konsep 2D.
“Jadi kita hanya olah semula dan padankan dengan konsep 2D yang ada di skrin LED,” katanya.
Menarik pada malam itu, Aepul menampilkan isterinya, bekas peserta Akademi Fantasia keempat, Leez Rosli pada akhir persembahan.
Aepul juga berjaya meraih tempat pertama dengan jumlah markah 90.53 peratus sementara diikuti oleh Stacy dengan 84.17 peratus.
Kemudian Putera Muhammad (83.21 peratus), De Fam (81.75 peratus), Aisha Retno (81.18 peratus), Ayda Jebat (78.10 peratus) dan Zizi Kirana (67.30 peratus).
Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu tersebut.
Konsert THSS diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Seri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak sementara juri jemputan bagi minggu tersebut ialah Datuk Yusry Abdul Halim.
Untuk info juara program tersebut akan membawa pulang wang tunai bernilai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE