PETALING JAYA – Malaysia Aviation Group (MAG) memperluaskan hubungan jangka panjang bersama rakan kongsi Oneworld, Qatar Airways Group menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Qatar Airways Cargo dan Maskargo untuk penawaran produk kargo lebih baik buat pelanggan dan mencapai sinergi operasi.
MoU tersebut sehubungan perjanjian perkongsian kod diperluas antara Malaysia Airlines dan Qatar Airways yang ditandatangani pada 2022, bagi menawarkan kesalinggubungan yang dipertingkat buat penumpang.
Menerusi MoU terbaharu itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kekuatan rangkaian dan kapasiti flit satu sama lain untuk meningkatkan penawaran kargo.
Pelanggan Maskargo akan beroleh akses kepada rangkaian global Qatar Airways Cargo yang ekstensif, manakala pihak sana mendapat akses kepada pasaran Asia Pasifik yang pesat bertumbuh, termasuk destinasi baharu dan penambahan kapasiti di stesen sedia ada.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Izham Ismail berkata, peluasan perkongsian bersama Qatar Airways Cargo menetapkan satu pencapaian penting bagi MASkargo.
“Kolaborasi ini tidak hanya meningkatkan penawaran produk dan kemampuan operasi, malah mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran kargo global.
“Dengan memanfaatkan kekuatan satu sama lain, kami bersedia untuk memberikan perkhidmatan tiada tandingan kepada pelanggan dan mencapai pertumbuhan menakjubkan bersama-sama,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE