fbpx

Malaysia ada cadangan lengkapkan armada pertahanan dengan helikopter tempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled melihat pesawat terdapat di Turkish Aerospace Industries sempena lawatan kerja ke Turkiye di Ankara hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

ANKARA, Turkiye – Malaysia mempunyai cadangan untuk melengkapkan armada pertahanan negara dengan pemilikan helikopter tempur, namun ketika ini masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung perolehan aset itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini, pihaknya mengambil pendekatan untuk melihat dan membuat perbandingan produk dikeluarkan oleh pelbagai negara itu terlebih dahulu.

“Sebagai sebuah angkatan yang disegani, memang kalau tengok dalam Kajian Kertas Putih Pertahanan, kita memerlukan helikopter sedemikian.

“Ia bukan sahaja (perolehan aset) bagi mengangkut barang dan anggota, tetapi helikopter tempur dan helikopter pengawasan juga.

“Saya percaya ia mengikut kemampuan negara, baru kita dapat lakukan perolehan itu,” katanya selepas ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Turkish Aerospace Industries di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan untuk memiliki aset itu, Mohamed Khaled bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut perkara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, Turkiye menjadi antara negara yang sedia bekerjasama dan membantu Malaysia bagi memulakan industri pertahanan.

“Jadi, dalam sektor udara, kita meninjau perkara yang boleh mendapat sumbangan dan penyertaan daripada Turkish Aerospace.

“Untuk itu, kita telah bincang dan Turkish Aerospace mengambil peluang menunjukkan kepada kita mengenai peralatan dikeluarkan oleh Turkiye termasuk pesawat pejuang, pesawat pelatih dan helikopter tempur,” ujarnya.

Jelasnya, Turkiye juga mempunyai kelebihan menerusi aspek bagaimana membantu Malaysia dalam beberapa segmen khususnya berkaitan dengan peralatan di udara.

“Pendekatannya ialah tidak semestinya kita Malaysia mengeluarkan produk ataupun peralatan perang lengkap, tetapi main peranan jadi pembekal kepada komponen atau bangunkan tenaga untuk menjadi pereka dalam pelbagai komponen kapal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI