BEIJING – Seorang lelaki secara ‘selamba’ membuang air besar di lantai bilik stor sebuah restoran di China selepas dia dilarang untuk masuk ke tandas, lapor akhbar Daily Star semalam.
Lebih mengejutkan, lelaki itu juga mencelupkan tangan kanannya yang kotor ke dalam sebuah periuk besar berisi sup.
Kejadian berlaku di restoran Shenyang sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) pada 3 Jun lalu.
Difahamkan, lelaki tersebut tidak dibenarkan masuk ke tandas restoran kerana meter air sedang diganti dan terdapat gangguan bekalan air pada hari kejadian.
Selepas memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), pekerja restoran menyedari bahawa lelaki itu menanggalkan seluarnya lalu melakukan perbuatan tidak senonoh itu sebelum beredar.
“Kami semua sedang bekerja dan tidak menyedarinya.
“Saya menemuinya di pintu keluar dan dia melarikan diri selepas melihat saya,” kata seorang kakitangan premis itu.
Mereka kemudian bertungkus-lumus membersihkan bilik stor dan membuang sup yang tercemar itu. – AGENSI