TUMPAT – Seorang kontraktor dicekup ketika sedang kelam-kabut mengisi enam daripada 15 tong jerikin di sebuah stesen minyak di Wakaf Aik, Bachok dekat sini semalam selepas mengetahui pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi bermula hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, lelaki yang berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi semasa sepasukan anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemantauan di stesen minyak berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapat, lelaki itu terburu-buru membuat pembelian diesel selepas beberapa jam mengetahui berhubung pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 liter bermula pukul 12 tengah malam tadi.
“Koktraktor itu memandu trak pikap jenis Toyota Hilux dengan mengisi diesel ke dalam 15 tong jerikin.
“Anggota penguat kuasa KPDN kemudiannya merampas 15 tong diesel yang berada di dalam kenderaan itu. Enam daripadanya tong itu berisi diesel dan setiap satu tong masing-masing mengandungi 25 liter diesel,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Pemeriksaan Dan Pemantauan Stesen Minyak di Pasir Pekan, di sini malam tadi.
Azman memberitahu, kontraktor terbabit didapati membuat pembelian diesel dengan menggunakan kad debit di stesen minyak itu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, lelaki itu membeli diesel tersebut untuk aktiviti pertanian dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, dua stesen minyak di Tawang, Bachok dan Wakaf Bharu di sini dikenakan tindakan sitaan dokumen selepas didapati enggan menjual diesel susulan pengumuman harga diesel tanpa subsidi.
Menurutnya, kedua-dua stesen minyak itu didapati melakukan kesalahan melanggar peraturan menjual diesel mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -KOSMO! ONLINE.