PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan semua ketua jabatan supaya mengambil tanggungjawab yang sewajarnya dalam memastikan tidak berlaku salah tadbir urus terutama melibatkan penyelewangan dan rasuah dalam kalangan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menyokong syor daripada Perdana Menteri untuk menetapkan setiap ketua jabatan tidak akan diberi kenaikan pangkat sekiranya diketahui terdapat pelanggaran tadbir urus dan integriti melibatkan jabatan atau unit diselia yang tidak dilaporkan atau diambil tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, syor yang disarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan suatu tanggungjawab kebersamaan dalam setiap peringkat jawatan di sesebuah jabatan untuk memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik dan berkesan tanpa pelanggaran integriti.
“Syor ini sekiranya dilaksanakan kelak akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas terutama dalam memastikan jabatan yang diselia sentiasa melaksanakan urus tadbir yang terbaik.
“Cuepacs berharap semua penjawat awam tidak kira pelbagai peringkat jawatan melihat langkah ini suatu perkara yang positif terutama dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adnan berkata, salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat ditegah termasuklah menyembunyikan salah laku tersebut.
“Tidak wajar untuk pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu.
“Sebagai penjawat awam tidak kira peringkat jawatan harus mempunyai kesedaran untuk membanteras salah laku dengan apa jua tindakan termasuklah melaporkan perkara tersebut untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.