PETALING JAYA – Jenazah peserta Ekspedisi Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, dijangka tiba di tanah air, hujung minggu ini selepas selesai menjalani proses bedah siasat Rabu lalu.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menguruskan proses akhir pengesahan penghantaran pulang jenazah Allahyarham Zulkifli ke Malaysia.
Ujarnya, proses menguruskan kepulangan jenazah Allahyarham akan dibantu oleh Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles.
“Setakat hari ini, pihak kami masih menunggu pengesahan jadual penerbangan untuk membawa pulang jenazah, yang diuruskan oleh agen lantikan pihak insuran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kelab Jelajah Alpine Malaysia turut memaklumkan, presidennya, Illaham Ishak, 47, juga telah selamat tiba di tanah air pada pukul 11.55 malam, Sabtu lalu.
“Pendaki Illaham Ishak kini sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, setelah menerima rawatan di hospital di Anchorage, akibat mengalami frostbite.
“Manakala pendaki Zainudin Lot, 48, pula masih menunggu tarikh penerbangan pulang ke Malaysia yang dijangka pada hujung minggu ini,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara.
Allahyarham Zulkifli disahkan meninggal dunia pada 6 pagi hari Rabu (waktu tempatan) semasa berlindung di “snow cave” di kawasan dikenali sebagai “Football field” di ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.
Punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui post mortem. – KOSMO! ONLINE