MEKAH – Ketua Pakar Rujuk Tabung Haji, Prof Madya Dr. Anhar Opir menjelaskan, hukum berpuasa pada tarikh 9 Zulhijjah untuk orang yang mengerjakan haji adalah harus.
Anhar berkata, hukum tersebut adalah mengikut pandangan Mazhab Syafie dan Hambali dengan syarat untuk mereka yang berada di Mekah serta mereka yang berwukuf waktu malam.
Katanya, bagi pandangan Mazhab Hanafi dan Maliki pula, hukumnya adalah makruh bagi mana-mana jemaah haji yang berpuasa pada 9 Zulhijjah.
“Para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum berpuasa bagi mereka yang menunaikan haji. Lebih utama tidak berpuasa bagi jemaah haji kerana Nabi Muhammad SAW tidak berpuasa. Tidak berpuasa lebih kuat dan membantu dalam berdoa dan beribadah.
“Bagaimanapun, para ulama sepakat bahawa bagi mereka yang berpuasa pada 9 Zulhijjah selain daripada jemaah haji ialah digalakkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Anhar yang juga Mufti Selangor berkata, ibadah haji mempunyai maksud meluas dan bukan hanya semata-mata mengunjungi Baitullah pada bulan-bulan haji untuk menunaikan ibadah tertentu.
Menurutnya, rukun Islam kelima itu mampu memberi kesan dan membentuk akhlak yang lebih baik jika seseorang itu memahami maksud di sebalik setiap rukun dan perkara wajib yang dilaksanakan semasa melaksanakan ibadah itu.
“Kita ambil salah satu contoh daripada perkara yang perlu dilakukan dalam ibadah haji, iaitu pantang larang ketika berihram, jika kita melanggarnya maka akan dikenakan dam. Namun, ada yang takut nak tunaikan haji, umrah disebabkan perkara itu.
“Sebenarnya jika dihayati perkara ini, ibadah haji membantu seseorang itu menjadi lebih berakhlak dan berdisiplin, kerana ketika berihram, seseorang itu tidak boleh memburu binatang, tidak boleh mencabut bulu, tidak boleh pakai pakaian berjahit bagi lelaki dan lain-lain lagi.
“Ini bermakna setiap kehidupan kita hidup kita ini ada sempadannya bagi setiap perbuatan yang hendak kita lakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE