ROM – Pemenang pingat emas temasya Sukan Olimpik 2020, Marcell Jacobs kembali berada pada kemuncak prestasi selepas mendominasi acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Eropah di Stadium Olimpik, Rom awal pagi semalam.
Pada perlumbaan itu, Jacobs tidak mempunyai masalah untuk meraih pingat emas dengan catatan masa terbaik tahun ini 10.02 saat (s), mengatasi rakan senegara, Chituru Ali, manakala jaguh Great Britain, Romell Glave melengkapkan kedudukan podium.
Menurut Jacobs, kemenangan yang diraih sudah tentu membakar semangatnya untuk mengharungi Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris bulan depan sekali gus berusaha untuk mempertahankan kilauan pingat yang dimenangi tiga tahun lalu.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan yang diraih kerana itulah perkara paling penting berbanding catatan masa. Ia bukanlah perkara yang besar untuk dirisaukan.
“Prestasi saya sejak beberapa bulan lepas semakin positif dan kejayaan ini sudah tentu menaikkan lagi semangat saya untuk berikan yang terbaik di Paris. Harapan saya agar dapat kekal cergas kerana misi utama adalah pertahanankan pingat emas Olimpik nanti,” katanya.
Sementara itu, Glave mengakui teruja apabila dapat meraih kedudukan podium buat kali pertama meskipun gagal memecah dominasi 1-2 dimenangi Jacobs dan Ali yang berlumba selaku atlet tuan rumah.
“Sasaran saya adalah untuk bersaing di peringkat tertinggi dengan jaguh-jaguh pecut seluruh dunia. Justeru, saya harap momentum ini dapat diteruskan pada kejohanan yang akan datang,” katanya. – AGENSI