ALOR GAJAH- “Saya ingatkan isteri hanya bergurau tetapi tidak menyangka permintaan pelukan itu adalah yang terakhir”.
Demikian luahan Zul Sham Mahat, 56, iaitu suami kepada Dahlia Ahmad, 52, mangsa keempat yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, semalam.
Katanya, permintaan itu diluahkan isterinya sebelum bertolak ke Terengganu bagi mengikuti program penanda aras.
“Sebelum pergi dia sempat bersalaman dan mencium tangan saya. Ini adalah rutin biasa arwah tetapi pada hari kejadian dia minta saya peluk dia sekali.
“Dia kata kenapa tidak mahu peluk kerana dia sudah hendak pergi. Saya tidak fikir apa-apa dan menganggap dia hanya bergurau namun tidak menyangka pelukan itu adalah yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Tuang di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu selamat disemadikan pukul 10.50 pagi, dihadiri kira-kira 200 orang termasuk sanak-saudara, sahabat handai serta para guru.
Tambah Zul Sham, Allahyarhamah yang baru sahaja bertukar ke SK Jeram pada awal tahun ini meninggalkan lima orang anak berusia 14 hingga 23 tahun.
Menurutnya, anak bongsu iaitu Adam Adham Zul Sham yang juga kanak-kanak istimewa masih belum dapat memahami sepenuhnya keadaan yang berlaku ketika ini.
“Saya lihat pada mulanya dia okay tetapi apabila ramai orang yang datang menziarahi jenazah isteri, dia mula sebak. Saya perasan dia duduk di dalam bilik berseorangan dan lihat gambar mama dia.
“Kemudian dia pegang gambar mamanya dan dari situ dia mungkin faham apa yang sedang berlaku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.