BAGAN SERAI – Seorang individu yang tidak diketahui identitinya ditemui rentung dalam sebuah kereta kereta yang sedang marak terbakar berhampiran Tanah Perkuburan Cina Bagan Serai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2 petang hari ini.
“Sebaik sahaja anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai tiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Proton Iswara sedan musnah terbakar 50 peratus.
“Di bahagian dalam kenderaan itu ditemukan satu susuk tubuh individu yang tidak dikenali identitinya berada dalam keadaan rentung,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir 10 minit bagi mengawal api kebakaran itu dengan menggunakan dua aliran hos air dari tangki jentera sehingga api kebakaran berjaya dipadamkan.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE