SEASIDE, Oregon – Sejenis ikan laut dalam yang besar dan berbentuk bulat ditemui terdampar di pantai negeri Oregon buat pertama kali dalam sejarah, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Menurut pengurusan Akuarium Seaside yang terletak di bandar Seaside, ikan dikenali sebagai Hoodwinker sunfish berukuran 222.50 sentimeter itu ditemui pada 3 Mei lalu di pantai Gearhart.
“Pada mulanya, ikan gergasi aneh ini menimbulkan kekecohan di media sosial dan orang ramai berpusu-pusu ke pantai untuk melihat spesies luar biasa ini meskipun dalam keadaan ribut,” katanya di akaun Facebook.
Ikan tersebut dipercayai hidup di perairan sederhana tetapi sebahagiannya dihanyutkan ke darat dari California ke Alaska baru-baru ini, di mana perairannya lebih sejuk.
Tambah Akuarium Seaside, penemuan tersebut berkemungkinan adalah ikan terbesar yang pernah dilihat atau terdampar di pantai Barat Laut Pasifik. – AGENSI