KAJANG – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan pelbagai jenis dadah bernilai RM7.5 juta dan menahan 17 orang suspek termasuk dalang utama.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, sindiket tersebut dipercayai berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan yang sah bagi mengaburi mata pihak polis.
Beliau berkata, kegiatan tersebut dibongkar oleh pasukan khas JSJN melalui sembilan serbuan di sekitar kawasan Kajang, Selangor dan Kuala Cheras, Kuala Lumpur pada pukul 1.10 petang hingga 9.30 malam, 5 Jun lalu.
“Dalam operasi tersebut, seramai 17 orang suspek berusia antara 18 hingga 50 tahun ditangkap oleh pihak polis termasuk dalang utama yang berusia 39 tahun. Seramai 10 orang suspek merupakan warga tempatan manakala tujuh lagi adalah warga asing.
“Semakan mendapati enam suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah. Ujian urin yang dijalankan pula mendapati empat suspek positif dadah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bertempat di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 Jun sehingga 12 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut Kok Chin, serbuan yang sama juga membawa kepada pembongkaran sebuah makmal haram dan stor dadah dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis heroin, ketamin dan syabu.
“Modus operandi sindiket ini adalah mereka akan menyewa apartmen dan rumah teres untuk dijadikan stor tempat penyimpanan dadah.
“Sindiket ini juga tidak akan tinggal di satu-satu tempat terlalu lama. Mereka akan berpindah-pindah jika mereka merasakan kegiatan mereka dihidu pihak polis.
“Kami dapati, mereka menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan terutamanya di sekitar Lembah Klang,” ulasnya.
Dalam pada itu, pihak polis turut menyita harta-harta ahli sindiket yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM8.64 juta.
Antara barangan yang disita ialah lapan buah kenderaan mewah, sebuah motosikal, wang tunai daripada pelbagai negata dan barang kemas.
Menurut beliau, sitaan tersebut dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. – KOSMO! ONLINE