fbpx

Bapa pukul 2 anak guna jaring raket badminton, jalan itik dijel 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memukul dua anak kandungnya berusia 13 dan 15 tahun menggunakan jaring pada raket badminton dan berjalan itik.

Mangsa yang berusia 13 tahun merupakan anak lelaki manakala mangsa berusia 15 tahun merupakan anak perempuan.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh berusia 35 tahun itu selepas dia mengaku bersalah kesemua pertuduhan berkenaan.

Bagi setiap pertuduhan mahkamah mengarahkan hukuman penjara lapan bulan dan mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun lalu dengan hukuman berjalan secara serentak.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan Hakim Fadzlin bertanya sebab tertuduh bertindak sedemikian adakah sebab untuk mengajar.

Tertuduh kemudian menjawab “Ya…Tapi saya tidak sangka situasi boleh jadi seteruk ini,” katanya.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menganiaya dua mangsa yang juga merupakan anak kandungnya sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Kepong Utara di sini antara 30 Mei hingga 1 Jun lalu.

Justeru bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, tertuduh merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan penanggung tunggal kepada keluarga selain telah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon satu hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh agar orang lain tidak melakukan kesalahan serupa.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah memukul kedua-dua anaknya itu menggunakan jaring yang terpasang pada sebatang raket badminton.

Ekoran kejadian itu telah menyebabkan kecederaan ke atas dua remaja berkenaan seperti mana dalam laporan awal perubatan.

Tertuduh juga turut menyuruh dua remaja itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama sehingga mungkin menyebabkan kecederaan emosi atau fizikal ke atas dua remaja itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI