LONDON – Arsenal mungkin dapat menyelesaikan masalah pada bahagian serangan dengan menandatangani pemain Bournemouth, Dominic Solanke pada musim panas ini serta seorang penyerang yang boleh memberikan sokongan kepada Bukayo Saka di sayap kanan.
Pengurus pasukan, Mikel Arteta dijangka akan membawa beberapa wajah baru ke bilik persalinan musim panas ini untuk membantu merapatkan jurang dengan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City.
Terdahulu, Solanke telah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal sebelum terdapat laporan bahawa Bournemouth bersedia untuk menerima tawaran dengan harga £65 juta (RM373 juta) daripada The Gunners.
Bekas penyerang Liverpool itu berjaya menjaringkan 19 gol dan mencatat tiga bantuan gol untuk Bournemouth musim lalu serta prestasinya yang cemerlang menyebabkan dia diramal akan berpindah ke kelab yang lebih besar dalam Liga Perdana Inggeris.
Solanke memimpin barisan serangan pasukan Andoni Iraola dengan cemerlang sepanjang kempen dengan pengawalan bola dengan sangat baik serta menunjukkan kesediaan untuk berlari apabila diperlukan.
Dalam perkembangan sama, Tottenham juga sedang mencari penyerang musim panas ini dan telah menyenaraikan Solanke sebagai salah satu sasaran mereka, bersama dengan Ivan Toney dari Brentford dan Santiago Gimenez dari Feyenoord. – AGENSI