“SAYA agak terkesan apabila membaca data Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu seramai 300,000 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Lebih memilukan, hanya 15 peratus pelajar memilih aliran sains ketika melangkah masuk ke tingkatan empat di sekolah.”
Itu antara kegusaran gadis berusia 25 tahun itu apabila mengenangkan nasib Malaysia yang mahu mengorak langkah sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Bagi Amni Sahira Muhammad Azam, dia sememangnya lantang mengeluarkan pendapat apabila perbualan berkisar mengenai kepentingan pendidikan dan hala tuju kerjaya belia pada masa hadapan.
Ujar mahasiswa tahun akhir jurusan kaunseling di Universiti Malaya (UM) itu, sebagai bekas pelajar aliran sains, dia secara peribadi berasa kecewa.
Ujarnya, ramai dalam kalangan pelajar sekolah masih mempunyai persepsi negatif terhadap subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik kerana dikatakan sukar.
“Walaupun saya tidak nafikan terdapatnya cabaran dalam subjek-subjek tersebut, namun manfaat yang boleh dinikmati pelajar setelah mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melebihi segala kesukaran dilalui.
“Antara contoh yang paling jelas adalah keluasan peluang memilih bidang pengajian yang boleh kita ikuti selepas SPM.
“Saya sendiri amat bersyukur kerana mampu mengikuti pengajian jurusan saya di peringkat diploma dan ijazah dengan lancar, hasil pendidikan di dalam aliran sains di sekolah dahulu,” katanya.
Dia yang mesra disapa Amni menjadikan guru kaunselingnya di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah sebagai teladan, sekali gus membuka matanya terhadap potensi kerjaya dalam bidang berkenaan.
“Melalui gurulah saya mula mengintai peluang dan meneroka cita-cita sebagai seorang kaunselor.
“Ditambah dengan naluri ingin tahu yang tinggi, selain sentiasa inginkan cabaran dalam hidup, saya mula teruja dengan bidang ini.
“Saya juga bersyukur, hasrat untuk masuk ke bidang kaunseling ini turut disokong penuh oleh ibu bapa.
“Tambahan pula, saya difahamkan kerjaya ini sangat fleksibel dan membenarkan saya bertugas sebagai seorang kaunselor berdaftar di pelbagai industri kelak,” tambah anak sulung dari tiga orang beradik dari Alor Setar itu.
Selain sifat semula jadi yang sentiasa mencari ruang untuk mencabar diri, Amni turut mempamerkan sifat kepimpinannya dalam setiap peluang serta ruang yang ada.
Penggemar laksa Utara dan nasi kandar itu pernah menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa di Universitas Serambi Mekah dan Universitas Airlangga, Indonesia.
Dia juga aktif dalam persatuan pelajar di peringkat fakulti dan universiti, dengan bergiat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Kedah, Persatuan Kaunseling UM dan Sekretariat Sukarelawan UM.
“Sebagaimana mahasiswa lain, saya juga tidak ingin melepaskan peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum bergelar graduan kelak dengan menyertai sebanyak mungkin program di kampus.
“Pun begitu, pelajaran tetap menjadi keutamaan dan saya masih mengekalkan prestasi yang baik. Ia dibuktikan apabila saya menjadi penerima Anugerah Dekan pada setiap semester,” katanya.
Tambah Amni, pengalaman paling manis adalah ketika berkongsi dapatan kajiannya berkaitan personaliti dan efikasi kendiri di sebuah persidangan antarabangsa di Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia.
“Mungkin kepada sesetengah mahasiswa, mereka tidak merasakan keperluan menjadi seorang pembentang di persidangan antarabangsa sebegini.
“Namun, pada saya ia satu peluang yang harus dimanfaatkan terutamanya dalam usaha membina jaringan sosial.
“Tambahan pula, saya sememangnya meminati bidang pengucapan awam dan pengacaraan.
“Jadi, peluang untuk bercakap di hadapan orang ramai sangat saya nantikan,” katanya.
Maka tidak hairanlah, dia turut dijemput untuk berkongsi pendapatnya mengenai karakter narsistik dalam rancangan, Selamat Pagi Malaysia baru-baru ini.