ALOR GAJAH – Jenazah Hasnatul Adilah Hassan, 48, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram yang maut dalam nahas bas di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air di sini, pada pukul 8.50 malam tadi.
Lebih 300 ahli keluarga serta kenalan hadir mengiringi jenazah di tanah perkuburan termasuk anak bongsunya, Muhammad Farouq Saifullizan, 12, yang turut terlibat dalam nahas terbabit dan mengalami kecederaan.
Terdahulu, solat jenazah telah diimamkan sendiri oleh anak keempat Allahyarhamah, Muzaffar Shah, 19, di Masjid Al Muhtadi Ramuan China Besar.
Muhammad Farouq kemudian dilihat dipapah masuk ke dewan solat oleh ahli keluarga untuk memberikan ciuman terakhir kepada ibunya.
Suasana pilu terus menyelubungi masjid apabila anak bongsu daripada lima beradik itu tidak dapat mengawal kesedihannya.
Kosmo! hari ini melaporkan sebuah bas ekspres yang membawa 39 orang penumpang terdiri daripada guru SK Jeram dan ahli keluarga mereka terbabas ke lereng bukit selepas merempuh sebuah lori treler di KM126 Jalan Kuantan – Segamat.
Dalam nahas kira-kira pukul 1 pagi itu, Hasnatul dan seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Turut maut dalam nahas adalah pemandu kedua bas, Mohd. Adi Hasan, 29.
Ketika kejadian, bas yang membawa rombongan guru itu dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju ke Terengganu sempena Program Lawatan Penanda Aras di SK Kompleks Seberang Takir. – KOSMO! ONLINE