ROMPIN – Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Salah seorang mangsa yang juga penumpang bas persiaran berkenaan, Asmaniza Mohamad, 50, berkata, dia bersama seorang lagi guru merupakan antara individu terawal yang menemui mangsa sejurus selepas kejadian.
Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan masih dalam keadaan sedar dan masih sempat bertanya di mana anak bongsunya, Muhammad Farouq Saifullizan, 12, yang turut serta dalam lawatan penanda aras SK Jeram ke SK Kompleks Seberang Takir, Terengganu.
Asmaniza memberitahu ketika menghampiri mangsa, Hasnatul Adilah berada dalam keadaan tertiarap berhampiran sebatang pokok kerana berkemungkinan tercampak keluar.
“Arwah sempat tanya di mana anak arwah, saya beritahu anaknya dalam bas tetapi rupanya anak dia di atas jalan kerana tercampak keluar.
“Kemudian seorang lagi cikgu yang bersama arwah sempat mengajar arwah mengucap sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,”katanya yang tidak mengalami kecederaan.
Bercerita lanjut mengenai tragedi mengejutkan itu Asmaniza berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan secara tiba-tiba merasakan bas sedang berpusing.
“Saya tidak perasan berapa kali bas berpusing tetapi bas terbalik ke sebelah kanan saya dan saya kemudiannya dihimpit pleh penumpang lain.
“Saya berasa sesak nafas dan saya berjaya melonjakkan badan untuk melepaskan diri sebelum mencari laluan keluar. Kemudian saya jumpa laluan keluar melalui pintu bumbung bahagian tengah bas.
“Ketika keluar, saya dengar jeritan minta tolong dan ketika itu saya nampak Ustazah Adilah (mangsa) dan saya terus memanggil seorang lagi cikgu untuk melihat keadaan ustazah,”katanya.
Dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah bas dan treler itu menyaksikan tiga maut selepas bas yang dinaiki mereka melanggar sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di sini malam semalam.
Dua lagi mangsa ialah Hamzah Ahmad, 60, yang juga merupakan guru SK Jeram yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan manakala seorang lagi ialah Hadi Asyaraf Mad Idris, 29, yang merupakan pemandu kedua. – KOSMO! ONLINE