ALOR SETAR – Kenderaan diesel mula memenuhi stesen-stesen minyak di sini susulan pengumuman harga diesel tanpa subsidi iaitu RM3.35 seliter bermula pukul 12 tengah malam ini.
Tinjauan di enam stesen minyak bermula kira-kira pukul 8 malam tadi mendapati bilangan kenderaan terutama jenis trak pikap semakin bertambah, namun tidak sesak.
Pemilik trak pikap, Khusairy Sulaiman, 32, berkata, dia keluar selepas solat maghrib untuk mengisi diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter.
“Saya keluar awal kerana bimbang stesen minyak sesak dengan kenderaan diesel. Setakat pukul 8 malam tadi, kebanyakan stesen minyak beroperasi seperti biasa dan lancar,” katanya ketika ditemui di stesen minyak di Jalan Sultanah, di sini hari ini.
Seorang lagi pengguna, Muhammad Izham Azhar, 46, berkata, kenderaan diesel dilihat mula memenuhi beberapa stesen minyak sejak lewat petang tadi.
“Ada stesen minyak yang mana pemandu kenderaan diesel perlu tunggu giliran tetapi setakat ini tidak perlu beratur panjang. Mungkin kalau datang lewat sikit, jumlah akan bertambah,” ujarnya.
Katanya, dia mengambil kesempatan untuk mengisi penuh tangki minyak kenderaannya.
“Kebetulan minyak pun dah nak habis, jadi saya ambil kesempatan ini untuk isi diesel pada harga subsidi, dapatlah jimat sedikit,” jelasnya.
Tambahnya, dia berasa sedikit lega kerana permohonannya untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel sebanyak RM200 sebulan menerusi program Budi Madani telah diluluskan. – KOSMO! ONLINE