PARIT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon bantuan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan dan menangkap dalang utama sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati, sindiket yang menyebabkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion itu didalangi suspek dari negara tersebut.
Katanya, setakat ini tiada keperluan pihaknya untuk mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) atau ekstradisi bagi menangkap suspek berkenaan.
“Tiada keperluan untuk minta bantuan Interpol. Kita sudah dapat jejak mereka, seorang daripadanya adalah warga Singapura.
“Kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura akan diperoleh untuk mengesan dan menangkap suspek kerana kedua-dua negara ada kerjasama di bawah undang-undang.
“Di mana sekiranya dia betul-betul berada di Singapura, kita akan minta pihak berkuasa Singapura untuk serahkan orang berkenaan kepada kita untuk tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa tangkapan membabitkan pegawai kastam dan ejen syarikat penghantaran yang dipercayai terlibat dalam kes ‘kontena terbang’ itu.
“Kita ada menjalankan beberapa tangkapan lagi, tidak silap saya empat ke lima tangkapan. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai tangkapan itu akan saya berikan kemudian,” katanya.
Sementara itu mengulas sama ada kejadian 10 buah kontena terbakar di Pelabuhan Barat, Pulau Indah semalam mempunyai kaitan dengan kes kontena terbang, beliau memberitahu tiada maklumat berkaitan perkara itu.
“Setakat ini saya tiada maklumat berkaitan perkara itu di mana kebakaran tersebut mempunyai kaitan dengan kes yang kita sedang siasat,” ujar beliau.
Media sebelum ini melaporkan, seramai tujuh individu termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM selepas disyaki dengan sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion kepada negara sejak 10 tahun lalu.
Laporan itu mendedahkan dalang sindiket itu ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga. – KOSMO! ONLINE