PUTRAJAYA – Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) biarpun harga baharu diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula tengah malam ini.
Ini bermakna sektor pengangkutan awam darat akan terus menikmati harga subsidi diesel pada RM1.88 seliter manakala, kenderaan pengangkutan barangan darat pula bakal menikmati harga RM2.15 seliter.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperolehi kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula 10 Jun 2024.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan (MOF) mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.
“Pada masa yang sama, KPDN menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian
melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon fleet
card daripada syarikat minyak pilihan.
“KPDN ingin menegaskan bahawa semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MOF menetapkan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia mulai pukul 12.00 tengah malam ini (Isnin). – KOSMO! ONLINE