BRUSSELS, BELGIUM – Sesi pengundian hari terakhir dan terbesar berlangsung di seluruh Eropah hari ini dalam pilihan raya maraton Kesatuan Eropah (EU).
Pengundian berlaku di 21 negara termasuk Perancis dan Jerman, di mana lonjakan sokongan untuk parti sayap kanan diuji.
Pilihan raya tersebut dianggap masa yang penting untuk Eropah ketika benua itu berhadapan dengan perang di Ukraine, perdagangan global dan ketegangan perindustrian akibat persaingan Amerika Syarikat-China serta kecemasan iklim.
Keputusan undian akan menentukan parlimen seterusnya blok tersebut dan jawatankuasa Suruhanjaya Eropah yang berkuasa.
Ia sekali gus membantu membentuk dasar EU dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pilihan raya ini adalah penting kerana Parlimen Eropah perlu mula memainkan peranannya yang sah,” kata seorang pengundi, Kostas Karagiannis kepada AFP di Athens, Greece.
Walaupun parti-parti arus perdana berhaluan tengah dijangka memegang sebahagian besar daripada 720 kerusi Parlimen Eropah akan datang, tinjauan pendapat mencadangkan bahawa kuasa mereka akan dilemahkan oleh parti berhaluan kanan. – AFP