PUTRAJAYA – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengadakan sidang media mengenai rasionalisasi subsidi diesel di pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 5 petang ini.
Pada 24 Mei lalu, Amir Hamzah berkata, subsidi diesel menyebabkan kerajaan menanggung kos RM1 bilion sebulan, manakala kerugian daripada ketirisan berjumlah RM4.5 juta sehari.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel adalah antara langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani untuk memastikan pengurusan fiskal yang mampan dan menangani isu ketirisan serius dalam sistem, tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala perincian termasuk berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi diesel secara bersasar akan dijelaskan oleh Amir Hamzah dalam masa terdekat.
Anwar berkata, beliau hanya memberi gambaran dan kerangka besar berkaitan pelaksanaan inisiatif dilakukan kerajaan.
Jelasnya, ia kemudian akan disusuli dengan tindakan daripada kementerian berkaitan. – KOSMO! ONLINE