PETALING JAYA – Speaker Dewan Rakyat tidak ada pilihan melainkan mematuhi Perlembagaan Malaysia dan mengisytiharkan semua kerusi adalah kosong.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, gugurnya keahlian seseorang itu adalah urusan dalaman parti dan bukan bidang kuasa Speaker (Dewan Rakyat).
“Setelah parti ada pegangan dalam hal berkenaan, maka tindakan Speaker mestilah berdasarkan apa yang Perlembagaan Persekutuan kehendaki setelah seseorang itu terhenti keahliannya.
“Ini adalah ujian penting konsep pengasingan kuasa dalam parlimen kita. Negara dan dunia akan menghakimi adakah Speaker bertindak untuk memelihara kemuliaan Dewan Rakyat dan keluhuran Perlembagaan, atau adakah beliau bertindak secara kepartian,” jelasnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, pada Jumaat status enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tersebut.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, MPT mengarahkan beliau selaku Setiausaha Agung parti untuk membuat tindakan susulan.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah kerana teliti dalam melaksanakan perkara itu demi memastikan semua perkara berda dalam keadaan teratur.
Wan Saiful turut berkata, semua langkah yang sedang diatur oleh barisan kepimpinan Bersatu ketika ini tidak perlu didedahkan.
“Saya rasa kita tak perlu dedahkan satu persatu langkah yang akan diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.