fbpx

Masjid Tanah berduka – Ketua Menteri Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang sempat dirakamkan rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka sebelum bertolak ke Terengganu, malam tadi.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menzahirkan rasa duka susulan nahas melibatkan bas yang dinaiki rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Kilometer 126 Jalan Kuantan – Segamat, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 1 pagi itu, dua guru iaitu Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan Hamzah Ahmad, 60, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Turut maut dalam nahas adalah kelindan bas, Mohd. Adi Hasan, 29.

Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara menzahirkan perkara itu menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

“Masjid Tanah berduka,” tulisnya ringkas disertai emoji emosi bersedih. Rata-rata warganet khususnya rakyat Melaka turut berkongsi kesedihan di ruangan komen.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memberitahu, pihaknya telah ke lokasi sejurus menerima maklumat berhubung nahas dan tiba sekitar pukul 3 pagi di tempat kejadian.

“Saya masih di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi menunggu jenazah dikafankan.

“Jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampung Ramuan China Besar untuk disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di sana,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah bas ekspres yang membawa 39 orang penumpang terdiri daripada guru SK Jeram dan ahli keluarga mereka terbabas ke lereng bukit selepas merempuh sebuah lori treler di KM126 Jalan Kuantan – Segamat, awal pagi tadi.

Bas tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju ke Terengganu sempena Program Lawatan Penanda Aras di SK Kompleks Seberang Takir. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI